2 ahli lembaga MPN salah guna dana, biaya dua syarikat persendirian

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 yang dibentangkan d Dewan Rakyat hari ini, mendedahkan berlaku penyalahgunaan dana Majlis Profesor Negara (MPN) melibatkan dua ahli lembaga pemegang amanahnya.

MPN sebagai sebuah Syarikat Berhad Menurut Jaminan (SBMJ) yang dikawal selia Jabatan Perdana Menteri (JPM), didapati membiayai operasi dua syarikat persendirian berjumlah RM373,516.

Malah, ia mewujudkan konflik kepentingan apabila dua ahli Lembaga Pemegang Amanah (LPA) tidak mengisytiharkan kepentingannya sebagai pemilik saham kepada dua syarikat terbabit, selaras Akta 777 (Akta Syarikat 2016).

Laporan LKAN menyebut pembayaran elaun tetap pengerusi dan timbalan pengerusi MPN berjumlah RM207,000 juga dibuat tanpa kelulusan menteri yang dipertanggungjawabkan.

Pada 29 Mei 2019, kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad mengeluarkan badan pemikir terbabit dari JPM.

Bagaimanapun pada 8 Nov 2021, kerajaan mengumumkan MPN kembali diiktiraf sebagai agensi di bawah JPM.

Turut dikesan, terdapat pembayaran dibuat tanpa kelulusan ahli lembaga pemegang amanah iaitu membabitkan ‘Honorarium’ felo penyelidik berjumlah RM399,000; pemasangan lif dan pengubahsuaian pejabat berjumlah RM82,500; penyelarasan gaji pengurusan tertinggi berjumlah RM62,500 serta pembayaran elaun tetap Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif berjumlah RM66,000.

LKAN turut menemui pengurusan geran yang tidak cekap membabitkan pengiktirafan geran tertunda sebagai hasil berjumlah RM2.43 juta tanpa dokumen sokongan, sebanyak RM0.92 juta dibelanjakan tidak mengikut tujuan geran diluluskan serta sejumlah RM475,000 peruntukan tidak digunakan.

Pembayaran kad kredit korporat berjumlah RM98,076 dan wang pendahuluan berjumlah RM20,000 turut dibuat tanpa dokumen sokongan.

BACA JUGA Dewan Rakyat gamat, status MP Tanjong Karang diperdebat

Â