Ikut lagi jargon banyak-banyak, ‘kan dah kena – Rafizi
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menyelar sikap pemimpin dan penyokong pembangkang yang berterusan membangkitkan polemik berkaitan isu pelaburan Blackrock.
Timbalan Presiden PKR yang juga Pengarah Pilihan Raya parti itu berkata, banyak jargon yang keluar dari PN mengenai Blackrock.
“Walaun pun ratib jargon-jargon ini.
“Cuma yang tidak diberitahu ialah hubungan Pas/PN dengan Blackrock ini.
“Nak tahu? Jangan panas tapi tonton saya dedah bukti kaitan PN/PAS dengan Blackrock.
“Ikut lagi jargon banyak-banyak, kan dah kena,” katanya menerusi platform X hari ini.
Beliau turut menyertakan sedutan ceramahnya pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap yang menekankan tentang kaitan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Blackrock.
“Siapa yang bermesyuarat mempelawa pelaburan daripada Blackrock ke Malaysia ini? Siapa dia? Mahathir pada November 2018.
“Tak percaya pergi ke Facebook Mahathir. Keluar gambar dia di London pada November 2018 membentangkan potensi pelaburan di Malaysia kepada pengurus-pengurus aset dan dana dunia, salah satunya ialah Blackrock.
“Pada masa siapa wang KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) diberikan kepada Blackrock untuk diuruskan? Zaman Muhyiddin.
“Perkara ini telah berlaku mula zaman dia. Zaman (pentadbiran) dia, tiada masalah, fatwa lain. Zaman orang lain, fatwanya lain,” bidasnya.
Untuk rekod, pada 2021, Perdana Menteri ketika itu, Muhyiddin meluluskan cadangan KWSP untuk menyerahkan kepada Blackrock untuk menguruskan dana khas KWSP berjumlah RM600 juta.
Sehubungan itu, Rafizi mengingatkan tentang peranan Mahathir sebagai penasihat ekonomi kepada empat negeri dikuasai PN iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis.
Beliau mempersoal di mana peranan menteri besar empat negeri berkenaan terutama Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam menegur Mahathir.
“Mana Sanusi? Bukankah kamu hebat dan berani, sultan pun kamu boleh maki. Takkanlah Mahathir kau tak boleh tegur.
“Tun yang dulu mula jumpa dengan Blackrock tahun 2018. Satu ayat pun tak keluar dari Menteri Besar Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.
“Namun, setiap hari di Parlimen, bakar emosi rakyat,” selar Rafizi lagi.
Pembangkang dilihat terdesak memainkan isu Blackrok bagi membangkitkan kebencian rakyat terhadap kerajaan Madani sehingga tergamak berhujah di Parlimen hanya berdasarkan surat layang.
Ahli Parlimen Machang dari PN, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata dia mendapat surat layang yang kononnya mendedahkan ‘dalang’ di sebalik keputusan penjualan sebahagian saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kepada BlackRock.
BACA JUGA ‘Dok cari mana The Greater Kedah ni? Ingatkan top 5’
Â