Agong, Permaisuri berkenan berangkat ke majlis sambutan Maal Hijrah Ahad ini

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan untuk berangkat ke Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2024/1446H yang bakal diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Ahad, 7 Julai ini.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) Datuk Hakimah Mohd Yusoff dalam kenyataan hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut akan hadir bagi menyemarakkan majlis itu yang bertemakan “Al-Falah Pemacu Malaysia MADANI”.

Hakimah berkata kemuncak sambutan tahun baharu kalendar Islam yang dijangka dihadiri 6,000 tetamu itu ialah Titah Diraja oleh Sultan Ibrahim diikuti dengan penyampaian Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa.

“Penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa dipilih berdasarkan kepada sumbangan besar dalam pembangunan ummah serta perkembangan syiar Islam selain mendapat pengiktirafan daripada masyarakat dalam dan luar negara,” katanya.

Mengulas pemilihan tema sambutan, beliau berkata ia manifestasi daripada intipati ajaran Rasulullah SAW dan sangat signifikan bagi memacu umat Islam di negara ini ke arah kejayaan yang hakiki di dunia dan akhirat.

“Dalam konteks ini, pembangunan ummah yang berkonsepkan al-Falah (kejayaan) ini perlu disemai, digarap, dihayati dan dicapai bagi merealisasikan Gagasan Malaysia MADANI,” katanya.

Beliau turut memaklumkan majlis itu akan disiarkan secara langsung menerusi saluran TV1 RTM dan disambung siar oleh beberapa stesen televisyen serta radio tempatan antaranya TV al-Hijrah, radio Nasional FM, Bernama Radio dan Web TV JAKIM.

BACA JUGA Wajib sokong RUU Mufti