Wajib sokong RUU Mufti

Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNPk) menyokong penuh Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 untuk memberi takrifan kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) bersumberkan aliran al-Asyairah dan al-Maturidiah.

Menerusi hantaran di Facebook, jabatan itu menyifatkan RUU terbabit bukti kesungguhan kerajaan Madani memperkemas tadir urus hal ehwal Islam, terutama pada isu takrifan ASWJ.

Sehubungan itu, jabatan tersebut menjelaskan, RUU itu wajib disokong demi menjamin kesejahteraan umat Islam negara ini.

JMNPk merujuk Perkara 4 yang mentakrifkan ASWJ dari sudut akidah bersumberkan aliran al-Asya’irahal-Asya’irah dan al-Maturidiah, selain penekanan kepada Fiqh Mazhab Syafie dan meraikan tiga mazhab yang lain.

“Selain itu, perkara berkaitan ilmu tasawuf melalui Imam al-Ghazali dan Imam Junaid. Maka, seluruh umat Islam khususnya, wajib memberikan sokongan kepada pelaksanaan (undang-undang) ini,” kata jabatan itu.

Pada Oktober lalu, satu dokumen dinamakan ‘Deklarasi Ipoh’ yang mengandungi hasil Muzakarah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyenaraikan beberapa fahaman bidaah lagi menyesatkan yang terkeluar daripada ASWJ.

Antara fahaman bidaah disenaraikan adalah Syiah, Khawarij, Mujassimah, Mushabbihah, Muktazilah, Batiniyyah, Liberalisme, Pluralisme, Sekularisme, Wahabi, Salafiah Jihadiah, Daesh, Al-Ikhwan atau sebarang fahaman yang membawa kepada fenomena takfir dan keganasan.

Sebelum ini, Mufti Pahang, Prof Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim dilapor mengajak umat Islam untuk mendokong RUU berkenaan, sekali gus memperkemaskan takrifan ASWJ, antara lain dapat mencegah dengan perlakuan ekstremism dan mampu mengekang fahaman radikal.

Bagi Mufti Sabah, Datuk Bungsu Aziz Jaafar pula, RUU tersebut sangat relevan kerana dilihat mampu memperkukuhkan asas Islam sedia ada, malah mampu mengekang ekstremism dan radikalism agama pada masa ini.

Pada 2 Julai lalu, RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 antara tiga RUU berkaitan hal ehwal Islam dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Selain itu, RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 dan RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024.

BACA JUGA Selepas hasil audit didedah, pantas kementerian ini lapor SPRM