Bukan saja ‘geng dinosaur’ tapi merebak ke politikus muda…
Oleh LIYANA MARZUKI
Kita baca di dada akhbar baru-baru ini, sudah selesai kes perebutan harta peninggalan Tan Sri Jamaluddin Jarjis. RM2.1 bilion kesemuanya. Punya banyak tak terkira.
Semua tahu beliau adalah money man untuk Parti Keramat. Suatu ketika dulu.
Dan kita boleh nampak ramai Bendahari UMNO ini kaya-kaya belaka kecuali Ku Li walau anak raja, kita lihat hidup biasa saja. Sampai ke tua, rumah yang sama. Lambo Porsche pun tiada.
Bendahari UMNO yang lainnya, Lavish sini sana. Kalau pun dia pandai cover, keluarganya tunjukkan jua.
Tidak perlu bekerja tujuh keturunan. Hidup mereka sekadar tidur, bercuti, parti dan makan-makan.
Apabila kita persoalkan, mereka akan kata, jangan dengki pada yang kaya. Mereka kuat berusaha dan berniaga. Bukan macam Melayu lainnya. Sudahlah malas, tak berapa cerdik pula.
Mereka ini jugalah yang paling melaung Melayu ditindas dan diancam orang lain.
Walhal, mereka sudah disusun. Anak-anak kalau negara jahanam pun, bila-bila masa boleh berhijrah. Sudah berduit.
Syed Saddiq
Saya perhatikan politikus muda lebih kurang sama. Satu politikus muda popular, sudah didapati bersalah masuk duit parti dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB).
Seorang lagi, dituduh duit Jana Wibawa, masuk akaun syarikat. Korupsi dan kroni dalam dunia politik adakah sudah jadi endemik? Bukan saja geng dinosaur tetapi merebak ke batch lain?
Saya tidak pernah dengar Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman push untuk Akta Dana Politik digubal dan dikuatkuasa. Saya dengar dia push macam-macam perkara. Tapi yang ini dia diamkan saja.
Akta Dana Politik ini bukan perkara baru. Namun, ini yang kita perlu. Boleh elakkan orang nak masuk politik sebab nak jadi ultra kaya. Galakkan yang nak masuk betul-betul mahu berkhidmat untuk negara.
Dunia politik yang toksik ini, sudah melimpah ke dunia syarikat berkaitan kerajaan (GLC), korporat dan NGO. Kita dah tengok macam-macam benda.
Duit dana Majlis Profesor Negara pun disapunya. Dana Latihan Nasional pun diseleweng beli harta benda.
NGO pula jadi lubuk penunggang agama jadi kaya-raya. Mana tak rosak negara kita?
Bawah karpet
Kerajaan Madani ini bercakap berpuluh tahun mengenai tatakelola dan rasuah.
Kita nak tengokkan apa tindakan ke atas Laporan Audit. Adakah akan dicampak bawah karpet macam kerajaan terdahulu?
Ada yang kata pada saya, selagi kerajaan ini tidak menyakau, kita akan sokong. Saya hanya angguk.
Namun, sudah berbunyi little bird sana sini, sudah ada little Napoleon Kerajaan baru ini. Tambah yang muda-muda baru merasa kuasa. Naik ‘sheikh’ jadinya.
Saya ingatkan, jangan sebab nila setitik, rosak susu sebelanga. Kena ingat, penggal depan tidak semestinya anda berkuasa. Yang di luar sekarang akan balas dendam punya.
Jangan sampai rakyat percaya, mereka semua ini sama belaka. Para evil yang merosakkan negara.
BACA JUGA Agong, Permaisuri berkenan berangkat ke majlis sambutan Maal Hijrah esok