Cikgu Joohari miliki banyak kelebihan, sokongan pengundi muda kepada PN tidak sekuat dulu

Majoriti pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap esok mengenali dan memberi perspektif baik kepada calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin.

Menurut Ilham Centre, calon yang mesra disapa Cikgu Joohari itu berlatar belakang kelayakan akademik, kerjaya sebagai cikgu dan merupakan orang tempatan.

“Dalam masa sama calon PH ini memiliki kemahiran komunikasi yang baik sama ada pengucapan awam atau komunikasi interpersonal apabila berinteraksi dengan pengundi,” katanya.

Menerusi kenyataan hari ini, Ilham Centre memaklumkan UMNO menggerakkan jentera kempen yang kuat dan sistematik untuk menyantuni pengundi teras mereka.

Ia termasuk bergerak secara bersendirian rumah ke rumah untuk berunding dan memujuk pengundi mereka untuk mengundi calon Perpaduan.

Badan penyelidikan itu menyifatkan pendekatan UMNO untuk mendampingi semula pengundi mereka semakin diterima meskipun sebahagiannya masih menyokong Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu, bagi segmen pengundi muda, Ilham Centre merumuskan bahawa sokongan kuat golongan itu kepada PN tidak sebagaimana PRN lalu.

Esok terdapat sembilan pusat mengundi mengandungi 65 saluran akan dibuka untuk tujuan pengundian, membabitkan seramai 39,151 pengundi berdaftar.

Dr Joohari berentap dengan calon PN, Abidin Ismail dalam PRK yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

BACA JUGA Cikgu Joohari titip warkah akhir kempen buat pengundi