Lawatan khas Sheikh Al-Azhar di Malaysia berakhir hari ini

Sheikh Al-Azhar Al-Sharif, Prof Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb hari ini menamatkan lawatan khas empat hari ke Malaysia atas undangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau diberikan upacara pelepasan pulang dengan hamparan permaidani merah dan kawalan kehormatan setempat oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) yang diketuai oleh Kapten Muhammad Syafiq Najmi Mazlan.

Penerbangan komersial membawa Sheikh Al-Azhar yang berstatus Perdana Menteri berdasarkan Perlembagaan Mesir itu berlepas dari Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 9 pagi tadi.

Bermula 2 Julai lalu, dalam rangka lawatan khas empat hari itu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Sheikh Al-Azhar di Istana Negara semalam.

Dalam masa sama, Sheikh Al-Azhar turut dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pengajian Quran dan Sunnah oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Penganugerahan kepada Sheikh Al-Azhar disempurnakan Pro-Canselor USIM, Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dalam Majlis Konvokesyen Khas.

Perdana Menteri Anwar menyifatkan lawatan khas Sheikh Al-Azhar ke Malaysia sebagai penghormatan besar kepada negara kerana menerima kunjungan seorang tokoh dan imam besar yang dihormati dan dimuliakan oleh dunia Islam.

Menurutnya, Sheikh Al-Azhar yang dikenali sebagai ketua ilmu telah memberikan sumbangan besar kepada dunia Islam sejak sekian lama.

BACA JUGA Wajib sokong RUU Mufti