Peguam kepada lelaki Israel dengan 6 pucuk pistol, Pas didesak ambil sikap

Pas didesak menyatakan pendirian berhubung isu Datuk Naran Singh sebagai peguam kepada seorang lelaki warga Israel yang didakwa memiliki ratusan butir peluru dan enam pistol.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, Naran Singh merupakan bekas calon Perikatan Nasional (PN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jalong, Perak yang terletak dalam Parlimen Sungai Siput pada Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu.

“Dia (Naran) orang Gerakan. Semasa penamaan calon lalu, dia datang sebagai penasihat undang-undang PN,” kata Rafizi dalam ceramah kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap.

Terdahulu, Naran Singh dilantik oleh tertuduh warga Israel, Avitan Shalom untuk mewakilinya pada perbicaraan selama sembilan hari yang akan bermula pada September depan.

Malah, Naran menerusi Facebook miliknya turut memaklumkan tentang pelantikan tersebut dan menerima banyak sokongan daripada pengikutnya.

Pada Mac lalu, Shalom, 38, didakwa memiliki pasport kewarganegaraan Perancis ditahan di sebuah hotel mewah di Jalan Ampang, selepas dikesan memiliki enam pucuk pistol jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger serta 200 butir peluru.

Polis mendapati lelaki berkenaan yang memasuki Malaysia pada 12 Mac lalu, menerusi penerbangan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) menggunakan pasport Perancis, merancang membunuh ketua kepada satu keluarga kumpulan penjenayah yang berseteru dengan keluarganya.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun dan tidak kurang daripada enam kali sebatan, jika sabit kesalahan.

BACA JUGA Mengejutkan kapal ‘tamat tempoh’ 2001 pun masih diguna, itu sebab PMX serius banteras ketirisan