Selepas hasil audit didedah, pantas kementerian ini lapor SPRM

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Ketua Eksekutif Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Steven berkata, arahan kepada Datuk Seri Khairul Dzaimee dan Datuk Shahul Dawood berhubung Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) itu sejajar syor Ketua Audit Negara.

Menurutnya, beliau dimaklumkan mengenai proses pengauditan ketika mengambil alih portfolio kementerian pada pertengahan Disember tahun lalu dan mengarahkan KESUMA serta HRD Corp memberikan kerjasama penuh.

“KESUMA tiada halangan sekiranya, mana-mana agensi berkaitan ingin melakukan siasatan lanjut.

“KESUMA tidak akan berkompromi dengan tindakan yang bertentangan dengan undang-undang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

KESUMA disyorkan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan HRD Corp bagi ketidakteraturan yang dikenal pasti dengan merujuk ia kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan.

Dalam masa sama, Ketua Audit Negara turut menggesa HRD Corp supaya mengkaji semula keperluan pindaan terhadap Perlembagaan Syarikat berkaitan pengurusan dan operasi syarikat supaya selaras dengan peruntukan di bawah Akta PSMB 2001.

Beliau berkata, dalam masa enam bulan KESUMA sudah memulakan proses rekayasa merentasi keseluruhan kementerian bagi memastikan tatakelola yang baik dan proses di seluruh kementerian serta agensinya.

Jelasnya, matlamat beliau adalah memastikan KESUMA mencapai tahap tatakelola dan tadbir urus korporat yang tertinggi.

“Rekayasa KESUMA di peringkat HRD Corp dilaksanakan untuk memastikan isu-isu yang dibangkitkan dalam laporan Jabatan Audit Negara (JAN) dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tidak berulang,” katanya.

Semakan LKAN mendapati HRD Corp mempunyai kelemahan pengurusan dalam melaksanakan operasi dan aktiviti syarikat mengikut tatakelola dan peraturan ditetapkan.

Akibatnya, agensi terbabit belum mencapai objektif penubuhannya, termasuk belum tercapai sepenuhnya termasuk KPI 2023 dan pindaan indikator KPI tidak diluluskan lembaga pengarah.

Mengikut LKAN, prestasi penyaluran levi kepada majikan pada 2020 juga tidak mencapai sasaran KPI ditetapkan, manakala sasaran KPI bagi tujuan sama (penyaluran levi) untuk 2021 hingga 2023 tidak ditetapkan.

Katanya, dapatan itu diperoleh hasil pengauditan itu yang dijalankan antara Ogos 2023 hingga Mac lalu dan PSMB sudah menyatakan maklum balas dalam mesyuarat penutup pada 3 Mei.

BACA JUGA Mengejutkan kapal ‘tamat tempoh’ 2001 pun masih diguna, itu sebab PMX serius banteras ketirisan