Sengit hingga akhir di Sungai Bakap, Ilham Centre tidak pasti siapa boleh menang

Ilham Centre merumuskan persaingan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap esok kekal sengit dan marginal.

Menurut firma penyelidikan itu, kedua-dua calon Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) mempunyai peluang seimbang 50-50 dengan PH mempunyai peluang menang jika perbezaan peratusan keluar mengundi etnik Melayu dan Cina tidak melebihi 15 peratus.

“Jika sebaliknya, PN akan mengekalkan status quo sebagai pemenang kerusi ini,” kata laporan badan penyelidik itu yang dikeluarkan hari ini.

Menerusi kenyataan itu agi, pihaknya merumuskan bahawa tiga faktor penting bakal menentukan keputusan PRK Sungai Bakap iaitu kadar keluar mengundi etnik Cina, sikap pengundi teras Umno dan hayunan pengundi muda.

“Selain tiga faktor utama tersebut, pemboleh ubah dan faktor lain masih lagi sama seperti senario Pilihan Raya Negeri 2023 yang dijangka tidak akan memberi pengaruh besar untuk merubah keputusan PRK ini,” katanya.

Ilham Centre berkata sepanjang kempen PRK tersebut, pengundi Cina yang dianggap deposit tetap PH menunjukkan tingkah laku tidak begitu ghairah terhadap PH dan Kerajaan Perpaduan disebabkan beberapa polisi ekonomi kerajaan dan prestasi kerajaan negeri khususnya berkaitan air dan infrastruktur.

“Sebahagian pengundi etnik Cina yang ditemui memberi isyarat untuk tidak keluar mengundi.

“Begitu juga anak-anak mereka yang menetap di bahagian pulau juga tidak akan pulang mengundi walaupun jaraknya berdekatan sahaja.

“Namun, senario ini tidak berlaku secara blok, sebahagian lagi pengundi etnik Cina tetap memberi komitmen untuk keluar membuang undi,” ujarnya.

Dalam masa sama, badan penyelidik itu memaklumkan pengundi India pula menunjukkan pola sokongan seperti PRN lepas yang lebih ramai cenderung kepada PH-BN.

Laporan itu berkata, secara tradisi Sungai Bakap adalah milik PKR apabila memenangi kerusi ini dalam beberapa siri pilihan raya sebelumnya.

Namun, akibat rempuhan gelombang hijau, PH hilang kerusi itu dan dirampas oleh PN dalam PRN Ogos 2023.

“Pemerhatian mendapati gelombang hijau tersebut telah mencapai puncak dalam PRN lepas dan mula berkurang dalam PRK ini.

“Aura yang terkait sentimen etnik-agama khususnya dalam kalangan pengundi Melayu sudah tidak sehangat PRU15 dan PRN 2023.

“Sama ada kempen secara berdepan atau secara atas talian, sentimen dan emosi berkaitan 3R ini sudah tidak sepanas seperti sebelumnya.

“Sentimen tersebut masih ada dan masih digunakan dalam kempen, namun sambutan dan kehangatannya semakin mereda,” menurut Ilham Centre lagi.

BACA JUGA Cikgu Joohari titip warkah akhir kempen buat pengundi

Â