Tiada sebarang penahanan atau sitaan peranti, ‘TukarTiub’ hanya dirakam percakapan

Tiada sebarang penahanan atau sitaan peranti dibuat terhadap aktivis sosial Hishamuddin Md Rais di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields pada 3.15 petang semalam.

Sebaliknya, beliau yang dikenali melalui laman blog ‘TukarTiub’ dirakam percakapan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menerusi kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan Hishammuddin bukan subjek siasatan.

Siasatan yang telah selesai pada 6.45 petang semalam itu diambil bertujuan merakam kenyataan beliau berhubung satu kandungan bersifat jelik dipercayai telah dikongsi semula melalui laman blog ‘TukarTiub’.

Dalam masa sama, MCMC menyatakan sebarang tindakan siasatan yang dijalankan terhadap mana-mana individu adalah berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada.

Semalam, Hishamuddin dilapor telah disoal siasat oleh pihak polis selama lebih dua jam berhubung catatan blognya diterbitkan pada 25 April lalu, yang menimbulkan persoalan mengenai status kesihatan Perdana Menteri.

BACA JUGA Agong, Permaisuri berkenan berangkat ke majlis sambutan Maal Hijrah esok