Warkah Fadhlina buat pengundi Sungai Bakap
Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek merayu pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap memberi peluang kepada calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu, Dr Joohari Ariffin untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat pada pengundian esok.
Menerusi Warkah Buat Warga Sungai Bakap yang dikongsikan di Facebook beliau malam tadi, Ketua Wanita PKR berkata, orang sebaik dan cerdik seperti Joohari wajar mendapat tempat untuk menjadi pemimpin di Pulau Pinang.
“Mana mungkin seorang guru membawa watak kayangan ketika seharian bergelumang ‘memanusiakan’ dan ‘menginsankan’ insan-insan untuk terus menjadi warga yang santun dan cerdas,” katanya.
Fadhlina berkata, beliau menghargai setiap pandangan daripada penduduk kawasan itu sepanjang tempoh kempen PRK berlangsung bermula selepas pengisytiharan calon bertanding pada 22 Jun lalu dan akan melabuhkan tirainya 11.59 malam ini.
“Tidak kira dari penduduk, jentera, pimpinan serta penjawat awam.
“Setiap aduan, permohonan serta jalinan dua hala antara rakyat dan wakil rakyat sememangnya sangat dinantikan.
“Para guru, jururawat, pasukan polis dan seluruh jajaran penjawat awam juga turut memberikan sisi pandang yang saya terima dengan hati terbuka.
“Pastinya tekad untuk berkhidmat dengan lebih baik ini dapat dijayakan dengan mempunyai rakan sepimpinan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri dan mempunyai akses untuk agensi dan pelaksana dasar di peringkat negeri dan Persekutuan,” katanya.
Menteri Pendidikan itu turut memberi jaminan bahawa tidak akan ada sesiapa pun yang akan dikesamping dan kesejahteraan semua rakyat sentiasa menjadi keutamaannya, khususnya di Nibong Tebal.
Menoktahkan warkah tersebut, Fadhlina menitipkan serangkap pantun sekali lagi menyeru pengundi Sungai Bakap supaya mengundi bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara itu esok.
Timang tinggi-tinggi,
Sampai cucur atap,
Undilah Cikgu Joohari,
Demi kesejahteraan Sungai Bakap.
Cikgu Joohari berentap dengan calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail dari Pas di kawasan majoriti pengundi Melayu mencecah 59.36 peratus.
BACA JUGA Rupanya 39 pekerja pening dan mual gas bocor di Kargo KLIA
Â