51.32% keluar mengundi PRK Sungai Bakap setakat 3 petang

Peratusan keluar mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap mencecah 51.32 peratus setakat 3 petang, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Kesemua sembilan pusat mengundi melibatkan 65 saluran dibuka serentak pada 8 pagi tadi.

Pusat pengundian terbabit ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Boon Beng, SMK Bandar Tasek Mutiara, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tasek, SK Sungai Duri, SMK Tun Syed Sheh Barakbah, SK Sungai Bakap, SK Jawi dan SK Sungai Kechil.

Seramai 39,151 pengundi berdaftar layak untuk memilih wakil rakyat baharu kawasan itu.

Proses penjumlahan undi berlangsung di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi, di Sungai Jawi.

Calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin berentap dengan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail di kawasan majoriti pengundi Melayu tinggi iaitu 59.36 peratus.

Pada Pilhan Raya Negeri (PRN) lalu, PN memenangi DUN Sungai Bakap dengan majoriti 1,563 undi.

Namun, kemenangan itu menyaksikan PN dikepung penguasaan PH-BN di kerusi Parlimen Nibong Tebal dan dua kerusi DUN lain dalam kawasan Parlimen tersebut iaitu Sungai Kechil serta Jawi.

BACA JUGA Wan Fayhsal dicemuh sebar fitnah