Catat rekod baharu, ahli Dewan Rakyat Britain diwakili 40 peratus wanita

Rekod baharu tercatat dalam proses demokrasi di Britain apabila jumlah Ahli Parlimen (MP) wanita yang akan duduk di Dewan Rakyat mencecah 40 peratus.

Situasi itu susulan keputusan pilihan raya umum (PRU) United Kingdom (UK) yang menyaksikan seorang perdana menteri daripada parti Buruh buat kali pertama sejak 2010.

Sehingga ini (0630 GMT), seramai 261 MP wanita telah dipilih iaitu mewakili 40 peratus daripada Dewan Rakyat.

Angka itu mungkin meningkat apabila pengiraan undi diteruskan di seluruh UK,lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Sebelum ini, 220 MP wanita telah dipilih dalam pilihan raya 2019.

Sejak enam pilihan raya lalu, jumlah MP wanita terus meningkat.

Parti Buruh menang besar dalam PRU UK sekaligus menyaksikan kekalahan bersejarah parti konservatif yang selama ini dominan.

Semalam, Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak dilapor mengakui kekalahan partinya kepada pemimpin parti pembangkang utama, parti Buruh, Keir Starmer.

UK mengamalkan sistem pemerintahan berparlimen dengan 650 Ahli Parlimen setiap satu daripadanya mewakili kawasan pilihan raya individu.

Dalam keputusan pilihan raya umum UK pada 2019, Parti Buruh ketika itu kalah tipis dengan memenangi 344 kerusi berbanding Konservatif yang berjaya meraih 365 kerusi.

BACA JUGA Ramai bekas ahli Umno mahu sertai semula parti