‘Cukup RM100,000 macam mereka beri kami dulu’ – Ahmad Maslan

Datuk Seri Ahmad Maslan menyarankan Kerajaan Perpaduan menetapkan syarat penggunaan jika memberi peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu berkata, beliau sendiri pernah dikenakan syarat tertentu ketika menjadi wakil rakyat pentadbiran kerajaan sebelum ini.

Sehubungan itu, jelasnya, Ahli Parlimen pembangkang ketika ini perlu dikenakan syarat sama seperti dikenakan sebelum ini.

“Ketika saya jadi pembangkang, saya hanya dapat RM100,000 dan tak boleh diguna untuk (operasi) pusat khidmat.

“Jadi, kalau (kerajaan) nak bagi, saya kira RM100,000 cukuplah dan tak boleh diguna untuk pusat khidmat sebagaimana mereka tetapkan kepada kami dulu,” katanya, dipetik BH.

Ahmad berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jerai di Yan, Kedah hari ini.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dilapor berkata, peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan kepada Ahli Parlimen bukan diberikan secara khusus kepada wakil rakyat saja untuk pembangunan infrastruktur dan sosial kawasan berkenaan.

BACA JUGA Wan Fayhsal dicemuh sebar fitnah