PRK Sungai Bakap: PN menang raih majoriti 4,267 undi

Perikatan Nasional (PN) melalui calonnya, Abidin Ismail memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap hari ini.

Abidin, 56, menang dengan mendapat 14,489 undi menewaskan pencabarnya daripada Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin yang memperoleh 10,222 undi.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Khairulnizam Hashim mengumumkan kemenangan Abdidin di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Serbaguna Jawi, malam ini.

Keputusan kiraan di semua 66 saluran peti undi menyaksikan Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal yang mesra dengan panggilan Abang Bidin menang dengan majoriti 4,267 undi.

Beliau sekaligus meneruskan legasi bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan terbabit Allahyarham Nor Zamri Latiff.

Pada PRN Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH Nurhidayah Che Ros dengan majoriti 1,563 undi.

BACA JUGA Radzi Jidin MP yang bising, Amir Hamzah Menteri yang ‘cool’ dan beradab