Selepas keputusan PRK Sungai Bakap, ini reaksi Cikgu Joo
Calon Pakatan Harapan (PH), Cikgu Joo menyifatkan keputusan PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap adalah satu isyarat daripada rakyat untuk gabungan PH dan juga Kerajaan Perpaduan.
Bagaimanapun, Dr. Joohari Ariffin berlapang dada dengan keputusan pengundi memilih calon daripada Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail sebagai wakil rakyat baharu kawasan itu.
“Saya percaya rakyat telah cerdik dalam membuat keputusan mereka, cuma pada masa depan kita harapkan rakyat membuat pertimbangan yang betul berdasarkan penilaian mereka daripada semua sudut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama PH malam ini.
Joohari menambah kempen dan jentera PH bersama gabungan Kerajaan Perpaduan juga telah menjalankan kempen yang penuh dengan akhlak dan adab serta mengelak daripada menfitnah parti lawan.
”Saya rasakan ini adalah PRK terbaik yang dilaksanakan daripada PH dan kerajaan Perpaduan, jentera-jentera menjalankan kerjasama yang baik.
“Serangan secara menghasut, fitnah kami elakkan, kami berjaya lakukan kempen dengan penuh beradab,” ujarnya lagi.
Keputusan PRK DUN Sungai Bakap malam ini menyaksikan Cikgu Joohari meraih 10,222 undi manakala calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail memperoleh 14,489 undi.
Abidin yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menang dengan majoriti 4,267 undi.
BACA JUGA Radzi Jidin MP yang bising, Amir Hamzah Menteri yang ‘cool’ dan beradab