Agong titah hati-hati belajar ilmu agama dari “Ustazah Facebook, ustaz TikTok”

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mengingatkan semua rakyat berhati-hati menuntut ilmu agama di media sosial.

Baginda menasihatkan agar rakyat memastikan kandungan yang diperoleh adalah sahih dan berwibawa.

Sultan Ibrahim bertitah, terdapat kebimbangan yang semakin meningkat mengenai penyebaran maklumat berkaitan agama Islam yang mengelirukan, tidak tepat, salah tafsir dan ajaran menyimpang daripada prinsip Islam sebenar.

“Jika orang dahulu belajar agama dengan membaca kitab dan mendengar kuliah di masjid, namun orang sekarang belajar agama secara ‘online’ daripada Ustazah Facebook dan Ustaz TikTok.

“Justeru itu, suka saya ingatkan kepada semua agar berhati-hati dalam menuntut ilmu agama di media sosial dan pastikan kandungan yang diperoleh adalah sahih dan berwibawa,” titah Seri Paduka Baginda semasa Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/2024M

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim mengingatkan setiap umat Islam supaya bijak menilai mana yang betul dan salah berkait penyebaran maklumat tanpa sempadan.

“Pada hari ini, kita berdepan dengan cabaran kebanjiran maklumat tanpa sempadan melalui media sosial yang sukar dikawal.

“Terdapat juga kebimbangan yang semakin meningkat mengenai penyebaran maklumat berkaitan agama Islam yang mengelirukan, tidak tepat, salah tafsir dan ajaran yang menyimpang daripada prinsip Islam yang sebenar.

“Setiap umat Islam perlu bijak menilai mana yang betul dan mana yang salah,” titah baginda.

Baginda juga menggesa kerajaan meningkatkan tindakan penguatkuasaan terhadap kandungan ajaran sesat di negara ini.

“Agama Islam yang diamalkan di negara kita adalah berlandaskan ajaran Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Namun saya perhatikan telah ada banyak fahaman dan ajaran Islam yang berbeza-beza. 

“Sudah menjadi macam rojak. Ini semua akan memecah-belahkan umat Islam. Janganlah kita dibodoh-bodohkan dengan ajaran oleh pihak yang ada kepentingan sendiri. 

“Jika keadaan ini berterusan, macam mana umat Islam hendak bersatu? Awak semua fikirlah betul-betul. Saya cuma boleh ingatkan sahaja, awak semua buat pilihan,” titah Yang di-Pertuan Agong.

BACA JUGA Menang besar macam mana pun, kerajaan negeri, pusat tak tumbang