Perangkap monyet dicampur racun tikus disangka jajan, dua beradik kini kritikal

Dua kanak-kanak kritikal gara-gara termakan keropok dicampur racun tikus yang dikatakan diguna penduduk untuk memerangkap monyet.

Menurut neneknya, Saadiah Yaacob, 62, dia menyangkakan ada orang memberi makanan ringan kepada dua cucunya itu kerana mereka terlihat sangat seronok.

Namun tidak lama kemudian, dia ternampak ambulans masuk ke kawasan rumah dan jirannya memberitahu dua cucunya sudah pun dibawa ke klinik oleh jiran mereka.

“Dua beradik itu kelihatan seronok sambil membawa dua bungkusan makanan ringan yang diikat dengan tali pulang ke rumah.

“Saya sangkakan ada orang bagi makanan ringan itu kepada mereka kerana nampak mereka seronok sangat sebelum saya keluar ke kebun getah berhampiran,” ujarnya seperti dilapor Berita Harian hari ini.

Sementara itu, datuk mereka, Muhammad Nazar berkata, racun dalam makanan ringan itu berkemungkinan bukan racun tikus sebaliknya racun yang lebih kuat.

Menurut ibunya pula, Nurain Hasnorizal, 25, ketika kejadian dia menyedari anaknya masuk ke dalam rumah dan tidak lama kemudian, anak bongsunya diserang sawan.

Dia turut memeriksa keadaan anak sulungnya yang dalam keadaan serupa selain mulut berbuih.

“Saya lihat ada plastik makanan ringan dan yakin mereka sudah termakan keropok dicampur racun tikus itu yang sering digunakan penduduk berhampiran bagi memerangkap monyet,” ujarnya.

Muhammad Akil Syauqi Abdul Rahman, 3, dan Muhammad Luth Syauqi, 2, dilaporkan kritikal dan kini sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).

BACA JUGA Walau kalah di Sungai Bakap, AMANAH yakin PMX di jalan betul

Â