Agihan peruntukan kepada MP pembangkang, ini penegasan PM Anwar

Perdana Menteri menegaskan isu agihan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang tidak seharusnya menjadi isu rumit untuk diselesaikan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan syarat ditetapkan kepada mana-mana ahli Parlimen pembangkang yang mahu memperoleh peruntukan adalah syarat asas dan proses biasa dalam mana-mana rundingan dan amalan demokrasi.

Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Kewangan mahu rundingan antara wakil kerajaan dan pembangkang disegerakan bagi membolehkan satu keputusan dimuktamadkan antara kedua-dua pihak, disamping mengelak sebarang rundingan secara berasingan.

“Parameter tidak susah. Tapi sebab ada sikap kurang positif, tidak ada rasa rendah diri, kompleks untuk menemui Perdana Menteri di pejabat Perdana Menteri dan bincang.

“Saya tidak faham mengapa proses ini jadi rumit. Tentang tarikh, syarat.. itu proses biasa dalam mana-mana proses demokrasi.

“Sekali lagi dan berulang kali saya sebut kesediaan kita, tapi biar ikut proses dalam amalan Parlimen,” ujarnya.

Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

BACA JUGA Selamba Wan Fayhsal lontar syor ‘bernas’ ini, ramai kecam cara PN urus tadbir ekonomi negara