Bapa teruk dikecam, bawa besi masuk padang lepas anak dilayang kad merah

Seorang lelaki menimbulkan kekecohan selepas tidak berpuas hati anaknya dilayangkan kad merah oleh pengadil ketika kejohanan bola sepak Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Kuala Pilah.

Menerusi video tular di media sosial, lelaki itu mengambil sebatang objek dipercayai besi sambil cuba memasuki padang sekolah, hanya kerana anaknya mendapat kad merah.

Namun salah seorang pegawai kejohanan tersebut sempat menghalang perbuatan bapa itu sebelum seorang anggota Rela merampas objek dibawanya.

Anggota Rela kemudian menenangkan lelaki berkenaan.

“Anak kena kad merah, kau nak ambil batang besi pukul pengadil. Bola Malaysia ini dah lah dah nazak, ada pula orang macam ini jadi enabler kepada anak-anak tunjuk perangai tidak semenggah.

“Kalau aku jadi jurulatih, aku halau keluar sahaja pemain itu. Menyusahkan,” kata pengguna X yang memuat naik video tersebut.

Video yang tular itu turut menyaksikan pertengkaran mulut di antara bapa pelajar dengan anggota Rela dan pegawai kejohanan.

Amarah bapa pelajar itu bagaimanapun tidak berkesudahan apabila lelaki terbabit sekali lagi mengangkat besi pada penghujung video berkenaan sebelum anggota Rela terpaksa menenangkannya.

Rakaman yang tular itu mengundang rasa kurang senang dalam kalangan peminat bola sepak yang menganggap bapa pelajar berkenaan terlalu ikutkan emosi.

BACA JUGA Kes tragis Esha: 9 saksi dirakam keterangan

Â