Enam jam di pejabat HRD Corp, SPRM angkut 3 kotak dokumen

Selepas hampir enam jam ‘bertandang’ ke ibu pejabat HRD Corp hari ini, Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilihat meninggalkan bangunan itu dengan membawa tiga kotak bersama mereka.

Kotak-kotak itu dipercayai berisi dokumen berkaitan HRD Corp yang dikaitkan dengan pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Dokumen tersebut difahamkan bagi tujuan siasatan.

Sebelum itu pasukan terdiri daripada 10 anggota dan pegawai termasuk seorang wanita dengan menaiki empat kenderaan berasingan tanpa logo SPRM, mula tiba pada jam 11.30 pagi dengan masing-masing memakai kemeja berkot.

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim dilaporkan berkata kehadiran penyiasat di dua tempat terbabit bagi mendapatkan dokumen berkaitan untuk tujuan siasatan.

PAC mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan Program Latihan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan, yang bukan  matlamat penubuhan agensi itu.

Jawatankuasa itu turut mendedahkan berlaku percanggahan dalam keterangan membabitkan dua pegawai kanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp), berhubung pembabitan syarikat pengurusan acara yang sebelum ini dikatakan milik Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahul Hamid Shaik Dawood.

BACA JUGA Selepas heboh isu HRD Corp, 10 pegawai SPRM bertandang di ibu pejabat