Selepas heboh isu HRD Corp, 10 pegawai SPRM bertandang di ibu pejabat

Susulan pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024, seramai 10 individu dipercayai anggota dan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertandang di ibu pejabat HRD Corp.

Mereka mengunjungi ibu pejabat HRD Corp di Bukit Damansara dan pejabat Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) di Putrajaya, hari ini untuk mengambil dokumen berkaitan isu HRD Corp seperti yang didedahkan.

Lapor BH, kesemua anggota dan pegawai SPRM terbabit tiba dengan menaiki empat kenderaan tengah hari tadi.

Kehadiran mereka itu bagi mendapatkan dokumen berkaitan siasatan yang dijalankan SPRM ke atas HRD Corp.

Menerusi Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024, Kesuma disyorkan merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan berkaitan berikutan kegagalan syarikat kerajaan itu dalam audit yang dibuat.

LKAN juga menegaskan terdapat tindakan serta keputusan oleh pengurusan HRD Corp tidak mematuhi prosedur dan tidak menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat.

Hal sama turut didedahkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bahawa terdapat sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan Program Latihan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan yang bukan merupakan matlamat penubuhan agensi itu

BACA JUGA Agihan peruntukan kepada MP pembangkang, ini penegasan PM Anwar