Projek hospital baharu untuk kontraktor ‘terpilih’ tak pernah wujud, kata Menteri

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menafikan kandungan surat tular kononnya bakal ada projek pembinaan tiga hospital baharu dan ia telah diberikan kepada syarikat kontraktor ‘terpilih’.

Katanya, setelah meneliti surat tular di media sosial itu, beliau mendapati “projek baharu” tersebut tidak pernah wujud sama sekali.

Malah, tidak dinyatakan sebarang arahan atau kelulusan dalam surat berkenaan supaya syarikat kontraktor yang disebut perlu dilantik untuk melaksanakan projek yang didakwa.

“KKM mengesahkan bahawa pejabat menteri kesihatan telah menerima satu surat tular mengenai cadangan kontraktor bagi kerja-kerja membina hospital pakar yang ditandatangani Setiausaha Politik Perdana Menteri dan dihantar kepada Setiausaha Politik Menteri Kesihatan.

“Surat tersebut saya tegaskan, tidak menyatakan sebarang arahan atau kelulusan supaya syarikat tersebut perlu dilantik untuk melaksanakan projek yang diperkatakan,” katanya.

Projek pembinaan tiga hospital yang diperkatakan adalah Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar, Johor; Hospital Jelebu, Negeri Sembilan dan Hospital Kuala Lipis, Pahang yang telah lama wujud dan sedang beroperasi.

Namun tegas Dzulkefly, buat masa ini KKM tidak mempunyai sebarang perancangan dalam masa terdekat untuk membina hospital baharu untuk menggantikan ketiga-tiga hospital tersebut.

“Oleh itu, projek yang dinyatakan dalam surat tular tersebut sebenarnya tidak pernah diluluskan peruntukan oleh kerajaan.

“Dengan itu permohonan daripada syarikat tersebut tidak dipertimbangkan kerana tidak wujud dan tiada sebarang tindakan susulan diambil KKM,” katanya.

Kata beliau, Pejabat Perdana Menteri telah menyerahkan kepada KKM untuk meneliti permohonan terbabit serta memutuskan tindakan yang perlu diambil.

“Tindakan ini membuktikan Pejabat Perdana Menteri tidak campur tangan dalam hal urusan perolehan projek KKM dan kementerian lain, selari garis panduan pengendalian sokongan oleh anggota pentadbiran dalam urusan kerajaan yang diperkenalkan dan berkuat kuasa sejak 21 Mei lepas,” katanya.

BACA JUGA Enam jam di pejabat HRD Corp, SPRM angkut 3 kotak dokumen