Tiga RUU berkaitan hal ehwal Islam akan dibaca kali kedua di Dewan Rakyat

Tiga rang undang-undang (RUU) berkaitan hal ehwal Islam akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, hari ini.

Ia adalah RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan 2024, RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 dan RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024.

Perkara tersebut tertera pada Aturan Urusan Mesyuarat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 bertujuan mengadakan peruntukan mengenai mufti, penentuan mengenai hukum dan doktrin syarak serta perkara berkaitan.

Bahagian II RUU itu mengesyorkan peruntukan berhubung mufti dan timbalannya, manakala Bahagian III berkaitan penubuhan serta fungsi Jawatankuasa Fatwa Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Bagi Bahagian IV pula berkaitan peruntukan berhubung pengeluaran fatwa, diikuti Bahagian V mengenai penentuan arah kiblat, kesalahan dan penalty.

Sementara itu, Bahagian VI menyentuh mengenai penubuhan serta fungsi Jawatankuasa Falak Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Bahagian VII RUU berkenaan pula membabitkan penubuhan dan fungsi Jawatankuasa Rukyah Hilal Wilayah-Wilayah Persekutuan, diikuti Bahagian VIII berkaitan penubuhan dan fungsi Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan dan perunding akidah serta Bahagian IX berhubung peruntukan pelbagai.

Selain itu, RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 bertujuan meminda Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 untuk memperkukuh aspek penguatkuasaan dan pentadbiran undang-undang Islam di kawasan berkenaan.

RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 pula bagi meminda Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998.

BACA JUGA PH didakwa kalah kerana penyasaran subsidi, ini respon terbaru Fahmi