2024 bakal jadi tahun paling panas di dunia

Jun 2024 mencatatkan peningkatan suhu global paling tinggi sehingga para saintis mengatakan tahun 2024 berpotensi menjadi tahun paling panas yang pernah direkodkan.

Menurut Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus EU, setiap bulan sejak Jun 2023 – selama 13 bulan berturut-turut – merupakan bulan terpanas sejak ia direkodkan, berbanding dengan bulan daripada tahun-tahun sebelumnya.

“Saya menjangkakan terdapat peluang kira-kira 95% bahawa 2024 akan mengatasi 2023 sebagai tahun yang paling panas sejak rekod suhu permukaan global dimulakan pada pertengahan 1800-an,” kata Zeke Hausfather, seorang saintis penyelidik di Berkeley Earth seperti dilapor Reuters.

Perubahan iklim yang semakin ketara telah membawa kepada kesan yang buruk di seluruh dunia pada tahun 2024.

Lebih daripada 1,000 orang meninggal dunia akibat kepanasan semasa ibadah haji bulan lalu.

Kematian akibat kepanasan juga dilaporkan di New Delhi dan di kalangan pelancong di Greece, yang mengalami gelombang haba yang tidak pernah terjadi sebelumnya.

Friederike Otto, seorang saintis iklim di Grantham Institute, Imperial College London, menyatakan bahawa terdapat “peluang tinggi” bahawa 2024 akan menjadi tahun terpanas yang pernah direkodkan.

“El Nino adalah fenomena semula jadi yang datang dan pergi. Kita tidak dapat menghentikan El Nino, tetapi kita boleh menghentikan pembakaran minyak, gas, dan arang,” katanya.

Saintis berkata peningkatan suhu yang berterusan di atas paras ini juga meningkatkan risiko bencana kemusnahan alam yang tidak menentu.

BACA JUGA Prebet Syafiq tak sedar hilang 19 hari, sangka cuma dua hari je