Prebet Syafiq tak sedar hilang 19 hari, sangka cuma dua hari je
Sejak minggu lalu beredar andaian mengatakan Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abd Halim disorok makhluk halus atau bunian sehingga kehilangannya tidak dapat dijejak.
Ketika andaian itu tersebar, muncul beberapa video mendakwa dua hari sebelum Muhammad Syafiq ditemui, penduduk kampung mengadakan satu upacara ‘Miring’ dipercayai untuk berhubung atau berkomunikasi dengan alam ghaib.
Terbaru, Muhammad Syafiq dilaporkan tidak mengetahui dia hilang selama 19 hari di dalam hutan ketika ditemukan selamat oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) baru-baru ini.
Sebaliknya Muhammad Syafiq merasakan dia hanya hilang selama dua hari.
“Dalam tempoh dua hari, dia (Muhammad Syafiq) cuba berjalan menyusuri sungai dan tanda-tanda yang ada untuk kembali kepada pasukan.
“Pada hari kita jumpa, dia nampak khemah Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem).
“Soalan pertamanya ‘Ini askar Brunei ke’ sebab dia takut sesat ke Brunei,” kata Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan ketika menemuinya 6 Julai lalu.
Muhammad Hafizuddeain tidak menafikan kehilangan Muhammad Syafiq itu mempunyai kaitan dengan perkara mistik.
“Kita tidak boleh menafikan perkara mistik walau macam mana canggih dalam (dunia) teknologi…mistik sentiasa ada cuma sukar untuk kita buktikan.
“Sebab itu dalam pencarian, kita juga menggunakan cara tradisional dengan bantuan ustaz dan pengamal perubatan yang mungkin lebih arif dengan keadaan di situ. Penduduk tempatan juga membantu dan tahu kawasan itu agak keras,” katanya.
Tambah beliau, keadaan fizikal, mental dan rohani Muhammad Syafiq kini dalam keadaan stabil dan normal.
BACA JUGA Projek hospital baharu untuk kontraktor ‘terpilih’ tak pernah wujud, kata Menteri