Dewan Rakyat cemas, Anthony Loke sesak nafas ketika sesi jawab lisan

Sidang Dewan Rakyat berlangsung sedikit cemas pagi tadi selepas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke tiba-tiba mengalami sesak nafas.

Ketika memulakan sesi jawab lisan soalan pertama dikemukakan Wong Chen (PH-Subang), Antony kelihatan agak mengah dan tercungap-cungap.

Beliau seterusnya memohon diberikan sedikit masa untuk menenangkan diri namun ketika mahu menyambung jawapan, beliau sekali lagi sesak nafas.

Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa meminta Loke berehat dan menggesa beliau membuat pemeriksaan di hospital.

“Relaks dulu Yang Berhormat (YB), kena periksa di hospital. Bahaya, bahaya,” katanya.

Selepas itu, Loke dilihat mengurut dadanya beberapa kali, sambil memberi isyarat kepada timbalannya, Datuk Hasbi Habibollah untuk meneruskan sesi itu.

“YB relaks dahulu, saya bacakan jawapan,” ujar Hasbi.

Hasbi kemudian menjawab soalan Chen berhubung garis panduan untuk membenarkan pemandu orang kurang upaya (OKU) dengan lesen A/A1 untuk bekerja sebagai pemandu e-hailing, dan rancangan kerajaan untuk mengubah garis panduan bagi membenarkan pemandu OKU untuk mendapatkan lesen PSV.

Tidak lama kemudian, Loke kembali mengambil alih semula tugas berkenaan daripada timbalannya dan menjawab soalan tambahan dikemukakan oleh Chen.

BACA JUGA SST terbukti bukan penyebab harga barang naik, ini jumlah kutipan SST vs GST