SST terbukti bukan penyebab harga barang naik, ini jumlah kutipan SST vs GST

Pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) didapati kurang membebankan rakyat berbanding Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Ia selepas Kementerian Kewangan mendedahkan bahawa kutipan hasil cukai SST adalah lebih rendah berbanding hasil kutipan GST.

MoF berkata, selepas GST diperkenalkan pada April 2015 hingga tempoh dimansuhkan iaitu Mei 2018, kutipan GST keseluruhannya adalah RM184.8 billion.

Manakala jumlah kutipan SST bagi tempoh September 2018 hingga akhir tahun 2023 pula adalah sebanyak RM150.4 bilion.

Perincian GST: Kutipan merekodkan sebanyak RM37.7 billion bagi tahun 2015; RM55.7 bilion (2016); RM60.5 bilion (2017); dan RM30.9 bilion (2018), iaitu sehingga Mei 2018 sahaja.

Perincian SST: Selepas dilaksanakan semula, kutipan SST adalah sebanyak RM5.4 bilion bagi tahun 2018, iaitu dari September 2018 hingga Disember 2018; RM27.6 bilion (2019), RM25.2 bilion (2020); RM25.5 bilion (2021); RM31.3 bilion (2022); dan RM35.4 bilion (2023).

Menurut Kementerian Kewanagan, jika dibandingkan jumlah kutipan hasil antara tempoh pelaksanaan GST dan SST, purata kutipan SST secara tahunan adalah 51.6 peratus lebih rendah daripada purata kutipan tahunan GST susulan skop kenaan SST adalah lebih kecil berbanding GST.

“Faktor utama jumlah kutipan SST menjadi lebih rendah adalah skop kenaan SST adalah lebih kecil iaitu meliputi 41 peratus daripada keseluruhan barang dan perkhidmatan dijual dalam pasaran berbanding 76 peratus daripada barang dan perkhidmatan dijual di bawah skop kenaan GST,” katanya.

Susulan itu MoF berkata, pelaksanaan SST tidak boleh dianggap sebagai penyebab utama kenaikan harga barang secara berterusan kerana terdapat faktor lain seperti permintaan dan penawaran, harga komoditi global, harga barangan import serta kadar tukaran mata wang asing yang turut mempengaruhi penetapan harga barang dan perkhidmatan oleh perniagaan.

“Terdapat juga peniaga dan penyedia perkhidmatan mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang dijual bagi meraih keuntungan berlebihan walaupun tidak terkesan dengan pengenaan SST,” kata MoF

MoF berkata demikian bagi menjawab soalan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) mengenai adakah hasil cukai dan rizab negara meningkat selepas SST diperkenalkan semula serta adakah SST antara penyebab utama kenaikan harga barang secara berterusan.

BACA JUGA Didakwa seleweng wang sumbangan, bapa baby Syifaa ditahan polis