Didakwa seleweng wang sumbangan, bapa baby Syifaa ditahan polis
Pada 2022, negara digemparkan dengan kematian seorang kanak-kanak berusia 15 bulan, baby Syifaa, dipercayai lehernya tersangkut pada kain buaian di sebuah pusat asuhan.
Kes itu masih berjalan sehingga hari ini, dengan 31 Julai depan adalah tarikh keputusan bagi inkues kes kematian baby Syifaa.
Namun pagi ini, dikhabarkan bahawa bapa kepada kanak-kanak berkenaan ditahan polis atas dakwaan menyeleweng wang sumbangan orang ramai dan menipu dalam urusan yuran guaman.
Lelaki terbabit ditahan polis sekitar jam 2.45 petang semalam di Kuala Lumpur oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju.
Lelaki terbabit yang juga aktivis memperjuangkan kes penganiayaan didakwa menyeleweng wang sumbangan orang ramai yang disalurkan kepada akaun syarikat yang ditubuhkannya, YY Community Center.
Bekas peguam pemerhati keluarga baby Syifaa, Hafiz Norkhan juga menafikan wang itu digunakan untuk memulakan kerja bagi mewakili kes.
Menurut Hafiz, beliau tidak mengetahui namanya digunakan dan hanya maklum mengenainya selepas diberitahu oleh mangsa dan pengadu lain sebelum membuat laporan polis berkenaan isu itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
BACA JUGA Projek hospital baharu untuk kontraktor ‘terpilih’ tak pernah wujud, kata Menteri