Steven arah Kementerian Sumber Manusia buat audit bebas ke atas HRD Corp
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong mengarahkan agar kementeriannya menjalankan audit bebas ke atas Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp).
Demi menjamin ketelusan, juruaudit profesional pihak ketiga akan dilantik oleh kementerian itu sendiri.
Kata Steven, audit bebas akan meneliti segala proses, prosedur, dokumentasi dan kepatuhan terhadap undang-undang serta sebarang garis panduan dalam isu-isu yang dibangkitkan dalam laporan-laporan Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
“Kementerian kini dalam proses perolehan untuk melantik juruaudit profesional pihak ketiga dan proses perolehan dijangka selesai selewat-lewatnya pada 31 Julai 2024.
“Tempoh masa audit bebas dan tempoh laporan akan dikeluarkan sebaik sahaja juruaudit telah dilantik.
“Audit bebas tersebut akan berjalan seiring dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan mana-mana pihak berkuasa lain,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.
Pada masa sama kata Steven, HRD Corp telah diarahkan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada semua pihak yang berkaitan.
Satu pasukan petugas khas yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud telah ditubuhkan bagi memudah cara siasatan-siasatan yang sedang berjalan, meneliti laporan JAN dan PAC, termasuklah juga hasil siasatan SPRM serta audit bebas.
“Pasukan petugas khas ini seterusnya akan memastikan tindakan susulan termasuk penambahbaikan dilaksanakan dengan sepenuhnya,” ujarnya.
BACA JUGA SST terbukti bukan penyebab harga barang naik, ini jumlah kutipan SST vs GST