Isu LRA: Sanusi bengang, dakwa Akmal perbesarkan masalah yang tak besar
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak berpuas hati dengan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang didakwanya sengaja “memperbesarkan” masalah dua projek Loji Rawatan Air (LRA) di negeri itu.
Kata beliau Pengarah Strategi PKR seolah memberi gambaran kerajaan negeri tidak pandai menguruskan projek pembangunan.
Baginya, kedua-dua LRA Sungai Limau dan LRA Bukit Selambau masih boleh ditangani dan tidak serius seperti yang dicanang Akmal.
“Dia (Akmal Nasrullah) gambarkan seolah kes besar. Mai (datang) sini, nak buat kandungan TikTok saja.
“Yang orang jawab tak masukkan hanya letak yang dia cakap seorang. Lepas itu potong video supaya nampak isu berat.
“Masa saya melawat (pada Selasa) kedua-dua loji berkenaan tak ada masalah besar, tengok tak ada apa pun. Namun digambarkan seperti kita tak reti buat kerja,” katanya.
Kelewatan dua projek LRA di negeri itu sentiasa mendapat perhatian Akmal kerana ia membabitkan kemudahan bekalan air untuk rakyat.
Mengulas mengenai kelewatan LRA berkenaan, Sanusi tidak menolak kemungkinan kontraktor berdepan kekangan seperti kenaikan harga bahan binaan sejak tender dikeluarkan pada 2021.
“Tender dibuat pada 2019, keputusan tender pada 2021, berlaku peningkatan harga barangan empat kali selain pandemik Covid-19 yang beri tekanan kepada kontraktor kerana kos meningkat.
“Sebahagian besar peralatan bidang mekanikal (MNE) tidak diberi VOP (variasi harga) seperti pam dan elektrik. Saya rasa itulah kekangan terbesar kontraktor di seluruh negara, bukan Kedah saja,” katanya lagi.
BACA JUGA Lain macam ‘marketing’, peniaga bagi durian percuma untuk orang ‘single’