Kerajaan Perpaduan pilih calon BN bertanding DUN Nenggiri
Majlis Pimpinan Kerajaan Perpaduan telah bersetuju memberi laluan kepada Barisan Nasional (BN) meletakkan calonnya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.43 Nenggiri.
Perkara tersebut dimaklumkan Ketua Sekretariatnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Asyraf berkata, keputusan itu dicapai pada mesyuarat yang berlangsung 9 Julai baru-baru ini, yang dipengerusikan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dihadiri oleh pimpinan tertinggi Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.
“Pimpinan kedua-dua parti, memberikan komitmen dan sokongan penuh untuk membantu calon Barisan Nasional yang mewakili Kerajaan Perpaduan,” katanya.
PRK Dun Nenggiri dijadualkan 17 Ogos, dengan penamaan calon pada 3 Ogos dan undi awal dijadualkan pada 13 Ogos.
Ia diadakan susulan penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan dari Bersatu, dan notis pelucutan keahlian dihantar kepada Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah.
Mohd Amar kemudian mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan mulai 19 Jun lalu.
Susulan itu, Mohd Azizi memfailkan injunksi sementara untuk menghentikan PRK DUN berkenaan daripada diadakan sehingga saman pemulanya diputuskan.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan injunksi terbabit.
Mohd Azizi yang juga Ahli Parlimen Gua Musang dilucutkan keahlian kerana menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri dan gagal memberi sebarang jawapan berkaitan surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.
BACA JUGA Lima menara masjid cecah RM225,000, Dusuki dinasihat buat perkara lebih bermanfaat
Â