Heboh kes buli masak dua bungkus mi Korea setiap malam di MRSM, ini amaran keras Asyraf Wajdi
Pendedahan seorang ibu mengenai anaknya yang menjadi mangsa buli teruk di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) mendapat perhatian serius Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Asyraf menegaskan beliau tidak akan berkompromi dengan apa jua bentuk buli lebih-lebih lagi membabitkan sentuhan fizikal.
Sehubungan itu, beliau meminta sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kes buli di Institut Pendidikan MARA (IPMA) atau MRSM supaya terus memaklumkan kepadanya.
“Pengurusan MARA amat mengetahui saya berpegang kepada prinsip ‘You touch you go’. (Anda sentuh, anda keluar). Tidak layak duduk dalam MRSM jika tidak boleh belajar hidup bermasyarakat dan berakhlak.
“Sekiranya perbuatan buli benar-benar berlaku, tindakan tegas mengikut undang-undang dan peraturan yang ada perlu dilakukan segera.
“Mangsa juga mesti dipantau supaya tidak menerima kesan sampingan yang lain daripada rakan-rakan dan persekitaran, katanya dalam menerusi Facebook.
Reaksi Asyraf yang juga Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia itu susulan perkongsian seorang pempengaruh serta pakar kewangan Islam, Dr Zaharuddin Abd Rahman mengenai kes buli.
Zaharuddin menerusi Facebook berkongsi satu tangkap layar meminta Asyraf mengambil tindakan terhadap aduan seorang ibu yang mengatakan anak lelakinya pelajar Tingkatan Satu yang menuntut di sebuah MRSM tanpa dinyatakan lokasinya menjadi mangsa buli pelajar Tingkatan Lima.
Kata Zaharuddin, MARA wajar mengambil tindakan segera terhadap kes buli tersebut kerana dibimbangi boleh diikuti dengan kekerasan fizikal yang akhirnya membawa kecederaan tubuh dan mental.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi dalam ruangan komen bertanyakan lokasi MRSM terbabit.
Selepas mengetahui lokasi MRSM terbabit, beliau memaklumkan pengurusan MRSM itu diberi tempoh sehingga petang ini bagi menyediakan laporan berhubung kes itu.
“Saya sudah terima maklumat dan pihak pentadbiran MRSM berkenaan sedang ambil tindakan segera.
“Saya minta (mengarahkan) laporan lengkap mengenainya paling lewat esok petang (hari ini).
“Saya minta siasatan dibuat secara adil dan menyeluruh,” kata Asyraf lagi.
Menerusi aplikasi Thread, seorang ibu kepada pelajar Tingkatan Satu yang menggunakan akaun atas nama Iqa.schamemey mendedahkan anak lelakinya menjadi mangsa buli pelajar Tingkatan Lima.
Beliau berkata, anaknya mengadu kepadanya dia sudah tidak tahan dibuli pelajar senior yang setiap hari memanggilnya membeli dan memasak mi segera di biliknya.
“Dia minta anak saya masak dua bungkus mi Korea (Samyang) yang berharga RM6 atau RM7 sebungkus selepas habis kelas mengulangkaji setiap malam.
“Pelajar itu suruh anak saya beli untuk dia dan kemudian memasaknya. Bukan pakai duit dia tapi pakai duit anak saya.
“Mental anak saya didera. Anak saya sampai takut kalau tidak sediakan mi untuk pelajar itu dan takut kena pukul.
“Anak saya mengadu sampai takut mohon kepada saya jangan memberitahu warden atau cikgu.
“Sebab dia risau jika sampai ke pengetahuan ‘senior’ itu , bakal mengundang kemarahan ‘senior’ itu,” katanya dalam aplikasi itu kelmarin.
BACA JUGA Kerusi Selat Kelang tidak dikosongkan
Â