Subsidi diesel: PM Anwar umum berita gembira khas untuk warga Felda

Kerajaan mengumumkan berita gembira buat warga Felda dalam usaha menampung peningkatan kos operasi ladang susulan penyasaran subsidi diesel.

Berucap ketika merasmikan sambutan Hari Peneroka Felda 2024 hari ini, Perdana Menteri bersetuju memberi peruntukan subsidi tambahan sebanyak RM100 juta kepada warga Felda.

Mengumumkan berita gembira itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan berkenaan dipersetujui selepas Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengadakan rundingan dengannya berhubung isu dihadapi peneroka Felda.

“Adakah pelaksanaan penyasaran subsidi (diesel) boleh 100 peratus sempurna? Ahmad Shabery telah bawa (isu dihadapi Felda) selepas mesyuarat Jemaah Menteri.

“(Beliau tanya) bagaimana tentang peneroka Felda? Mereka guna peralatan (libatkan diesel), maka saya setuju (lulus peruntukan tambahan RM100 juta),” katanya hari ini.

Harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 bagi setiap liter bermula 10 Jun iaitu harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Mekanisme Harga Automatik.

Perdana Menteri sekali lagi menegaskan langkah penyasaran subsidi diesel oleh kerajaan dibuat bagi memastikan ia tidak dinikmati golongan yang tidak berhak seperti warga asing dan syarikat maha kaya.

“Semua (pimpinan dahulu) setuju penyasaran subsidi tetapi kenapa tidak buat, sebab tidak berani kerana beberapa kelompok marah,” kata beliau.

Sementara itu, Anwar berkata, kerajaan turut meluluskan peruntukan RM31.7 juta untuk 317 tanah rancangan Felda bagi Program Sejahtera Komuniti MADANI.

Beliau berkata, melalui peruntukan itu, setiap tanah rancangan akan menerima RM100,000 untuk melaksanakan satu projek ekonomi tambahan di kawasan mereka.

“Cadangkan satu projek ekonomi tambahan dan saya lulus setiap kampung RM100,000. Sekarang, (projek itu) sedang berjalan. Saya mahu semua (projek) diwakili melibatkan jawatankuasa masjid, surau, belia dan wanita,” kata beliau.

BACA JUGA Wan Fayhsal sembang jadikan “KLIA world class” tapi stesen bas KB macam bengkel