Tragedi ditembak ketika berkempen, peluru disahkan tembus telinga kanan Trump

Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengesahkan terkena tembakan pada bahagian telinga kanannya.

Beliau memaklumkan dalam keadaan baik selepas kejadian tersebut semasa perhimpunan kempennya di Pennsylvania, menurut Agensi Anadolu.

“Sungguh luar biasa tindakan sebegini boleh berlaku di negara kita. Tiada apa yang diketahui mengenai penembak itu buat masa ini, yang kini telah meninggal dunia. 

“Saya ditembak dengan peluru yang menembusi bahagian atas telinga kanan saya.

“Saya segera tahu bahawa ada sesuatu yang tidak kena kerana saya mendengar bunyi berdesing, tembakan, dan serta- merta merasakan peluru itu menembusi kulit. Banyak pendarahan berlaku, jadi saya menyedari apa yang berlaku,” tulis calon Presiden AS itu di platform media sosialnya, Truth Social memetik laporan Bernama.

Menurut rakaman, detik awal kejadian tembakan bermula dengan bunyi tembakan kedengaran. 

Tidak lama kemudian, Trump dilihat mengangkat tangan ke bahagian kanan kepalanya dengan telinga kanan yang berdarah ketika beliau dibawa keluar dari pentas di Butler.

Perkhidmatan Rahsia AS dalam kenyataan di X memaklumkan suspek penembak yang melepaskan beberapa das tembakan ke arah pentas sehingga mencederakan Trump semasa perhimpunan kempennya telah ditembak mati.

Ketua Komunikasi Perkhidmatan Rahsia AS, Anthony Guglielmi berkata, seorang penonton terbunuh manakala dua lagi cedera parah dalam kejadian itu.

Kejadian itu sedang disiasat dan Perkhidmatan Rahsia telah memaklumkan secara rasmi kepada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

BACA JUGA Wan Fayhsal sembang jadikan “KLIA world class” tapi stesen bas KB macam bengkel