KK Mart, pembekal didenda RM120,000 lukakan hati umat Islam isu stokin
Syarikat Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd dan syarikat pembekalnya, Xin Jian Chang Sdn Bhd, didenda keseluruhan RM120,000 dengan masing-masing perlu membayar RM60,000.
Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman itu selepas kedua-dua syarikat mengaku bersalah atas pertuduhan melukakan perasaan orang Islam berhubung penjualan stoking tertera kalimah Allah, pada Mac lalu.
Mahkamah turut memerintahkan supaya denda itu dibayar dalam tempoh tiga hari.
Hakim, Muhamad Anas Mahadzir dalam penghakimannya menegaskan agar syarikat-syarikat tersebut lebih peka terhadap sensitiviti masyarakat muslim.
“Saya tidak mahu berdakwah namun mana-mana agama kalau disentuh melibatkan isu sedemikian akan menimbulkan perasaan yang lebih peka.
“Justeru, saya berharap KK Mart dan Xian Jian mengambil iktibar dan lebih bertanggungjawab serta memperketatkan kawalan kualiti masing-masing,” katanya.
Bagaimanapun Muhamad Anas membebas dan melepaskan pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart, Chai Kee Kan dan isterinya Loh Siew Mui daripada pertuduhan tersebut.
Selain itu, tiga pengarah syarikat pembekal stoking berkenaan, turut mendapat perintah DNA selepas pendakwaan tidak mahu meneruskan pertuduhan ke atas lima individu berkenaan.
BACA JUGA ‘Dah ambil tanah orang, takkan tak boleh datang jumpa’ – Khalid kepada menteri