Dakwaan penyasaran subsidi hanya susahkan rakyat, ini jawapan balas Rafizi

Pembangkang berterusan mengatakan bahawa langkah penyasaran subsidi hanya akan menyusahkan rakyat.

Padahal, keputusan kerajaan itu adalah untuk memperkukuhkan ekonomi negara serta mengelak kadar unjuran ekonomi negara daripada terjejas menjadi lebih teruk.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, selain ketirisan dan penyeludupan berlaku membabitkan bahan itu yang merugikan negara, kerajaan terpaksa berbelanja besar sehingga RM52 bilion.

“Baik kita bagi subsidi kepada keluarga yang betul-betul susah dan memerlukan daripada kita subsidi itu disalah guna,” katanya.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata demikian dalam Podcast Yang Bakar Menteri Episod 4 semalam.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan blogger Salim Iskandar atau lebih dikenali sebagai Parpukari yang mendakwa langkah penyasaran subsidi hanya akan menyusahkan rakyat.

Pemimpin PKR itu mengakui subsidi diesel sebagai contoh digunakan oleh golongan kaya dengan semaksimum mungkin kerana mereka mempunyai kenderaan lebih daripada satu.

“Tapi golongan yang bawah ini dia ada motor sahaja, sebulan dia dapat berapa sahaja tapi kerajaan tetap belanja besar, ada baiknya ambil duit itu dan alihkan kepada keluarga-keluarga yang lebih layak.

“Sebab dengan cara itu sahaja ekonomi negara dapat dirancakkan kerana dan boleh mengurangkan hutang,” katanya.

Rafizi menambah, dahulu hanya 6 juta orang penerima bantuan BR1M tetapi sekarang di bawah bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) penerimanya meningkat sehingga 10 juta orang.

“Data ini disediakan oleh kumpulan, pegawai yang sama daripada zaman Datuk Seri Najib Tun Razak dan terbukti STR juga dibayar tinggi daripada dulu.

“Oleh sebab STR diberikan kepada setiap individu, jadi setiap isi rumah dua, tiga orang boleh dapat dengan kadar STR dinaikkan dan rekod menunjukkan ada keluarga miskin boleh dapat bantuan STR mencecah RM6,000,” tambahnya lagi.

BACA JUGA ‘Meletup’ kempen tiada pingat Olimpik untuk genosid