Jailani Khamis sah jadi ahli Pas
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Muhammad Jailani Khamis sah menjadi ahli Pas.
Penyertaan bekas wakil rakyat Umno itu diumumkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, di Parlimen hari ini.
Takiyuddin berkata, keputusan Jailani memasuki Pas tidak akan menjejaskan kedudukan Adun terbabit kerana Dewan Undangan Negeri Melaka belum lagi menguatkuasakan undang-undang anti lompat parti.
Sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) 2022, ketaatan dan kesetiaan Jailani terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) dipersoal.
Dia menyertai perarakan pada proses penamaan calon Pas Parlimen Ketereh di Kelantan.
Beliau juga hadir pada majlis pengumuman calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Bakri, Johor.
Namun, ketika itu, Jailani memberi alasan bahawa kehadirannya di majlis itu bukan atas kapasiti sebagai ADUN UMNO.
Sebaliknya, Jailani berkata, dia mewakili pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Muafakat Nasional (MN) yang diterajui bekas Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa.
Ekoran kemasukannya ke dalam Pas, parti tersebut kini mempunyai seorang wakil dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka sekaligus menambah kepada tiga kerusi untuk pembangkang.
Dua lagi wakil PN dalam DUN Melaka ialah Mohd Yadzil Yaakub (Bemban) dan Mohd Aleef Yusof (Sungai Udang).
BACA JUGA Penjawat awam dibawa mahkamah untuk reman, jenazah Nur Farah bakal diterbangkan ke Miri
Â