Fahmi pertegas tak pernah arah agensi media tutup ruang komen

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menafikan beliau ada mengeluarkan sebarang arahan agar agensi media menutup komen di akaun media sosial.

Seperti agensi berita BERNAMA contohnya yang menutup ruangan komen di platform media sosial, Fahmi berkata agensi itu mempunyai hak untuk melakukan perkara sedemikian.

Ini kerana katanya, portal atau pengendali media bertanggungjawab terhadap komen yang dibuat di platform mereka.

“BERNAMA atau media lain sudah sedia mengambil maklum mereka mempunyai hak untuk mengenakan sekatan, iaitu dengan mengambil kira keputusan yang pernah diputuskan mahkamah pada masa itu.

“Maka itu antara keputusan dilakukan (menutup komen) kerana mereka bertanggungjawab terhadap komen yang dibuat orang ramai,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang bertanya mengenai keseimbangan di antara hak bersuara dan sekatan buli siber apabila ruangan komen agensi media di media sosial mereka ditutup, termasuk dilakukan BERNAMA.

Keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2021 menetapkan portal media bertanggungjawab terhadap komen dibuat pengguna di platform media sosial.

Fahmi berkata, beliau tidak pernah meminta mana-mana pengendali platform sosial atau agensi media menutup ruangan komen.

“Saya tegur, saya teliti, Ahli Parlimen Machang (Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal) yang tiada di sini hari ini mengeluarkan tohmahan kepada saya. Saya tidak mengarahkan TikTok, saya tidak pernah terima aduan.

“Mana-mana orang awam boleh membuat aduan kepada pengendali platform seperti Tiktok, Instagram dan ia terpulang kepada pengendali itu untuk mengekal atau membuang komen di media sosialnya,” katanya.

BACA JUGA Rafizi tolong Harakah faham tentang ringgit dan dakwaan pelabur lari

Â