Rupanya tunggu 24 jam buat laporan orang hilang tak betul, ini penegasan KPN

Selama ini ramai menyangka perlu menunggu sehingga tempoh 24 jam sebelum membuat laporan polis kes Orang Hilang (OH).

Rupanya, tiada keperluan untuk orang awam berbuat demikian malah orang ramai dinasihatkan segera membuat laporan polis.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, alasan perlu menunggu sehingga tempoh tertentu untuk membuat laporan adalah satu mitos yang tidak berasas.

“Tidak ada ketetapan atau undang-undang yang memaksa anda bersabar, bertenang atau bertahan dalam tempoh panjang.

“Ada yang kata perlu tunggu sampai 24 jam, 48 jam hingga 72 jam dalam keadaan gementar serta gemuruh. Ini mitos semata,” katanya, lapor Kosmo.

Beliau menggalakkan orang ramai segera membuat laporan polis selepas sudah melakukan carian orang yang diyakini hilang serta gagal dihubungi.

Jelasnya, ia sebagai langkah awal mengelakkan suatu insiden buruk berlaku terhadap individu yang dilaporkan hilang.

Sehubungan itu, Razarudin mengambil peluang menasihati masyarakat agar terus memainkan peranan membantu menyalur maklumat mengenai kes orang hilang.

“Peranan masyarakat sangat dihargai dalam membantu pihak polis.

“Saluran di pelbagai medium kita hebahkan berkait kes orang hilang untuk orang awam bersama kita membantu siasatan kes,” tambahnya lagi.

BACA JUGA Peruntukan nak tapi gambar PM Anwar digantung jauh seberang pintu