Wan Fayhsal digantung, pengajaran untuk Ahli Parlimen lain
Pengerusi AMANAH Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh menyifatkan penggantungan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal sebagai satu ‘sejarah’ baharu buat Parlimen negara.
Katanya, tindakan yang dikenakan terhadap Wan Fahysal itu sebagai satu pengajaran kepada ahli-ahli parlimen yang lain.
“Saya kira ini satu pengajaran kepada ahli ahli parlimen supaya lebih berhati-hati agar hormati parlimen dan perlembagaan sekali gus menyedari bahawa negara ini walaupun dalam parlimen, ada undang-undang.
“Surat layang statusnya sama macam hearsay, ianya tidak membawa bukti apa-apa dan ia adalah bersifat fitnah.
“Dan perkara ini walaupun dalam parlimen, ahli-ahli parlimen dilindungi, tetapi perkara-perkara yang berkaitan dengan fitnah, tidak patut dibenarkan,” katanya di TikTok.
Ismail turut menyifatkan surat layang yang menjadi dalil hujah Wan Fahysal di parlimen dengan mempunyai nama-nama tertentu membawa satu imej yang sangat tidak baik.
Bermula hari ini, Wan Fahysal digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan susulan dakwaannya mengenai surat layang dikatakan mengandungi maklumat berkaitan dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Keputusan itu diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul selepas usul berkenaan mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen, dengan 110 Ahli Parlimen bersetuju dan 63 tidak bersetuju, selepas undi belah bahagi dijalankan, manakala tiga tidak mengundi dan 46 tidak hadir.
Usul berhubung penggantungan Wan Ahmad Fayhsal dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Dua Ahli Parlimen membahaskan usul berkenaan iaitu Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN-Larut) dan Azli Yusof (PH-Shah Alam), sambil dicelah beberapa Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
BACA JUGA Fahmi pertegas tak pernah arah agensi media tutup ruang komen
Â