Ekonomi Malaysia melangkaui jangkaan, diramal berkembang kukuh 5.8 peratus suku kedua

Seperti yang dijangka, pertumbuhan ekonomi Malaysia diramal berkembang 5.8 peratus pada suku tahun kedua 2024 (s1 2024) iaitu meningkat daripada 4.2 peratus pada suku tahun sebelumnya.

Itu anggaran awal yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini di mana pertumbuhan yang dicatatkan itu adalah yang tertinggi sejak suku keempat 2022 (7.4%).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, ekonomi Malaysia dijangka mengekalkan momentum pertumbuhannya, disokong oleh faktor domestik dan eksport dengan prospek positif untuk baki tempoh tahun ini.

“Peningkatan perbelanjaan penggunaan isi rumah dirangsang oleh musim perayaan dan cuti sekolah serta pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 pada April 2024.

“Tambahan lagi, sejumlah RM6.98 bilion telah dikeluarkan daripada Akaun 3 (Akaun fleksibel) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) setakat Jun 2024 untuk menyokong keperluan kewangan jangka pendek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Uzir berkata, anggaran pertumbuhan yang dicatatkan pada suku kedua adalah sejajar dengan indikator terkini seperti Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) yang masing-masing meningkat 6.1 peratus dan 2.4 peratus pada April dan Mei 2024 berbanding tahun sebelumnya.

Selain itu nilai jualan borong dan runcit turut meningkat 6.6 peratus pada April dan 7.1 peratus pada Mei berdasarkan asas tahun ke tahun.

“Bagi sektor luaran, jumlah perdagangan, eksport dan import mengalami peningkatan berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

“Faktor lain termasuk peningkatan ketibaan pelancong serta pengeluaran kelapa sawit dan kemajuan pembangunan projek mega,” katanya.

Mengulas lanjut, Uzir berkata prestasi ekonomi pada suku tahun ini dipacu oleh sektor perkhidmatan, dengan hampir semua sektor utama menunjukkan pertumbuhan yang lebih baik berbanding suku tahun sebelumnya.

“Di samping itu, sektor pembinaan kekal dengan pertumbuhan dua angka, 17.2 peratus didorong oleh prestasi yang kukuh dalam semua subsektor, terutamanya kejuruteraan awam dan aktiviti pembinaan pertukangan khas.

“Sektor pertanian meningkat 7.1 peratus pada suku tahun ini, disumbangkan oleh pertumbuhan yang memberangsangkan dalam subsektor kelapa sawit,” ujarnya.

KDNK jauh melangkaui jangkaan pasaran

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata KDNK pada suku kedua 2024 jauh melangkaui jangkaan pasaran.

“Anggaran tertinggi dalam kalangan ahli ekonomi adalah kira-kira 5.0 peratus dan anggaran kami sendiri hanyalah 4.5 peratus. Jelas sekali, ekonomi domestik bersama peningkatan dalam permintaan luar telah menjadi pemacu utama pertumbuhan lebih tinggi ini.

“Ekonomi secara dasarnya telah mencapai status guna tenaga kerja penuh yang bermakna lebih ramai rakyat digajikan dan menerima pendapatan. Ini membolehkan mereka berbelanja dan menyumbang secara positif kepada ekonomi,” katanya.

BACA JUGA Peniaga lega harga sayuran turun mendadak hingga 20 peratus 

Â