Pembangkang melampau, tak patut guna Qunut Nazilah terhadap seteru politik

Qunut Nazilah tidak sepatutnya digunakan untuk mendoakan kehancuran terhadap seteru politik terutama sesama Islam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution menegaskan, tindakan Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail yang memimpin bacaan Qunut Nazilah di Dewan Rakyat tidak sepatutnya berlaku.

Doa itu dibaca pemimpin pembangkang selepas Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan.

Saifuddin mengingatkan, sebarang bentuk ekstrimis melampau seperti itu harus ditolak rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan kedamaian.

“Perbezaan politik tidak sepatutnya disamakan dengan pendekatan takfiri atau Khawarij yang melihat perbezaan politik itu sebagai lawan yang sampai kita doakan kehancurannya. Ini bukan akhlak politik islam

“Perbezaan pandangan politik tak boleh jadi alasan untuk menghakimi iman atau soleh seseorang itu. 

“Jadi saya juga katakan bahawa menggunakan Qunut Nazilah untuk mohon kehancuran terhadap lawan politik dalam kalangan umat Islam adalah tindakan melampaui batas dan bertentangan prinsip Islam sebenar,” tegasnya dalam satu sidang media hari ini.

Beliau berkata, Qunut Nazilah di Malaysia diamalkan di dalam solat bagi meminta pertolongan Allah terhadap kezaliman Israel kepada rakyat Palestin.

Namun apabila doa itu digunakan untuk menyerang sesama ahli politik Islam di negara ini, Saifuddin menganggap ianya melampau dan sama sekali tidak membawa akhlak politik Islam.

“Semalam MP Jasin baca Qunut Nazilah yang sama terhadap lawan politik. Ini bukan akhlak politik islam, jauh sekali nak kata ini ajaran islam.

“Jelas dia cuba berselindung di sebalik imuniti Parlimen. Tapi saya nak menyeru rakyat Malaysia dan umat Islam supaya lihat dengan hati jernih, tahu beza bahawa kita sebenarnya berbeza dari segi pilihan politik.

“Beza politik tak boleh dianggap sebagai beza akidah atau beza keimanan terutama dalam kalangan umat Islam,” ujarnya lagi.

BACA JUGA Ekonomi Malaysia melangkaui jangkaan, diramal berkembang kukuh 5.8 peratus suku kedua