Pemuda PH nasihat Mahiaddin, Bersatu didik Wan Fayhsal 

Pemuda Pakatan Harapan menasihatkan agar Presiden Bersatu, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin dan parti itu mendidik Ahli-ahli Parlimennya agar tidak membawa fitnah ke Dewan Rakyat.

Ketua Penerangannya, Ammar Atan berkata, penggantungan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal selama 6 bulan adalah hukuman yang wajar berikutan tindakan beliau yang tidak profesional dan melanggar etika Parlimen, serta mewujudkan penghinaan terhadap penjawat awam.

“Angkatan Muda Harapan menasihatkan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin dan parti Bersatu untuk menjalankan program khas bagi mendidik Ahli-Ahli Parlimennya agar lebih berintegriti dan tidak memfitnah sewaktu berbahas di Dewan Rakyat. 

“Cukup-cukuplah menabur fitnah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ammar berkata, tindakan Ketua Armada Bersatu itu boleh dianggap sebagai menghina Parlimen yang dinaungi oleh Majlis Raja-raja Melayu.

Justeru, Ammar yang juga Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional menasihatkan agar Wan Fayhsal bersikap matang dengan tidak membawa sumber tidak sahih ke dalam Parlimen.

“Wan Fayhsal sepatutnya bersikap matang dan berintegriti dengan mendapatkan sumber yang sahih, bukannya bersandarkan surat layang dalam perbahasan Parlimen dan menamakan penjawat awam yang kononnya adalah “dalang” yang mengancam kedaulatan negara.

“Hakikatnya, beliau tidak dapat membuktikan kesahihan maklumat yang dinyatakan dalam surat layang tersebut, yang jelas merupakan fitnah dan adu domba untuk memburukkan

penjawat awam negara,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Ammar, Ini bukan kali pertama Ahli Parlimen Perikatan Nasional melanggar etika Parlimen. 

Pada Februari lepas, Wan Saiful Wan Jan, yang merupakan Ahli Majlis Tertinggi Bersatu hampir digantung dari Parlimen selama 6 bulan akibat memfitnah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai korup dan salah guna kuasa tanpa bukti. 

Akhirnya, Wan Saiful terpaksa meminta maaf kepada Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong.

BACA JUGA Ekonomi Malaysia melangkaui jangkaan, diramal berkembang kukuh 5.8 peratus suku kedua