Melampau kaitkan dengan arak, Aiman Athirah tuntut tarik balik 48 jam

Seorang individu bertindak melampau apabila cuba mengaitkan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Aiman Athirah dengan sebuah jenama minuman keras, Tiger.

Aiman Athirah dalam satu kenyataannya hari ini, menuntut individu tersebut menarik balik hantaran tersebut dalam tempoh 48 jam dan berhenti menyebarkan fitnah.

Beliau berkata, pasukannya sedang mengumpul maklumat berkaitan dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang.

“Saya nasihatkan Md Nor Azam Yusof turunkan posting ini dan hentikan sebaran fitnah, atau berhadapan dengan tindakan undang-undang. 

“Saya sama sekali tidak pernah menghalalkan arak, tetapi malang sekali ramai pula kelompok takfiri yang menghalalkan fitnah dan menghalalkan percubaan jahat mengaibkan saya dengan fitnah. 

“48 jam,” tegasnya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Hasil pemerhatian, sehingga berita ini ditulis, individu terbabit masih belum menurunkan hantaran tersebut

Hantaran dibuat individu terbabit dipercayai berkaitan dengan isu terpalit pada Ahli Parlimen Sepang itu ketika beliau menghadiri sebuah Konsert Amal Pendidikan anjuran sebuah Sekolah Kebangsaan Jenis Cina (SJKC) bagi meraikan para penyumbang sekolah itu.

Tular foto memaparkan Aiman Athirah bergambar dengan Individu lain sambil memegang replika cek sumbangan syarikat arak sebanyak RM 3,175,034.88.

Difahamkan, Aiman Athirah menyumbang RM100,000 kepada Lembaga Pengurusan Sekolah.

Selain beliau, ada beberapa syarikat penyumbang lain yang turut hadir ke acara tersebut – di mana jemputannya dibuat pihak sekolah tanpa pengetahuan menteri.

Dalam penjelasan Aiman Athirah, syarikat minuman arak tersebut adalah salah satu penyumbang SJKC berkenaan.

Selain itu, Aiman Athirah menjelaskan bahawa kehadirannya adalah untuk memberikan sokongan terhadap usaha sekolah untuk mengumpul dana bagi membangunkan dewan yang selesa kepada murid.

BACA JUGA Penduduk Kg Sungai Baru berhimpun, berang gara-gara Rafidah

Â