Menjelang PRK Nenggiri: Siapa Sheikh Razali?
Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, bulan depan menyaksikan nama Sheikh Razali Hamad disebut-sebut sebagai calon yang menjadi pilihan Bersatu.
Pengarah Operasi PRK Nenggiri Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Annuar Musa turut memberi bayangan calon yang dipilih oleh Bersatu seorang yang matang dan sudah lama bermain parti, berbanding calon parti lawan.
Bayangan Annuar Musa ketika ceramah Isu Semasa Pertahan Nenggiri, malam tadi seolah-olah merujuk kepada Sheikh Razali yang turut berada di atas pentas bersama pimpinan Pas dan Bersatu.
Untuk rekod, Sheikh Razali berusia 51 tahun dan juga bekas Ketua Pemuda UMNO Gua Musang, sebelum menyertai Bersatu.
Sheikh Razali yang merupakan usahawan antara tiga nama yang dikatakan bakal menjadi taruhan Bersatu pada PRK Nenggiri.
Dua lagi nama yang disebut ialah Ketua Bersatu Kuala Krai, Zulfaqar Dahalan dan bekas Timbalan Ketua Bersatu Gua Musang, Che Ariffin Hussin.
Bagaimanapun, Sheikh Razali dilapor BH, memberitahu sehingga kini parti belum memuktamadkan lagi siapa calon yang dipilih untuk Nenggiri.
“Memang saya akui ada yang mengatakan saya adalah calon, namun semuanya bergantung kepada pimpinan parti.
“Saya tidak tahu siapa calon yang sebenar, Kita lihat nanti pada pengumuman rasmi,” katanya, dipetik BH.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan.
Tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos.
Kekosongan luar jangka kerusi Nenggiri berlaku selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis mengikut Fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nenggiri Mohd Azizi Abu Naim pada 13 Jun lalu.
BACA JUGA Logo Pas di Nenggiri, ini kata Radzi
Â