Rumah Makan Percuma, usaha Ayam Bismi dapatkan keberkatan

Rumah Makan Percuma yang terletak di Simpang Empat Kangkung, Alor Setar mungkin satu-satunya restoran atau kedai makan yang memberikan makan tengahari secara percuma kepada orang ramai secara berterusan sejak ditubuhkan.

Ia diusahakan oleh pasangan suami isteri Datuk Jefry Ahmad dan isterinya Datin Mazlina Kamarudin melalui syarikat mereka, Ayam Bismi. Ia dirasmikan oleh Mufti Kedah pada 3 Februari 2022 lalu.

Rumah makan ini beroperasi enam hari seminggu mulai jam 12 tengahari hingga ke jam 1.30 petang menyediakan makan tengahari secara percuma kepada sesiapa sahaja tanpa mengira siapa mereka. Rumah makan ini ditutup pada setiap Sabtu.

(Para tetamu yang makan di Rumah Makan Percuma diyakini Jefry akan mendoakan kejayaan perniagaan beliau).

Ketika kami berkunjung ke sini minggu lalu, bukan sahaja orang Melayu yang makan di sini bahkan juga orang Cina dan India.

“Saya dan isteri secara peribadi akan menyumbangkan ayam untuk rumah makan ini. Itu dari poket kami sendiri,” kata Jefry, pengerusi yang juga pengasas Ayam Bismi, jenama ayam yang utama di utara tanah air.

Menurut Jefry, beliau menyediakan 550 ketul ayam sehari. Seekor ayam akan dibelah empat untuk dijadikan lauk utama rumah makan ini. Hampir setiap hari, rumah makan ini akan menggilir-gilirkan menu masakan mereka.

(Nasi yang disediakan oleh Rumah Makan Percuma, bukan biasa-biasa tetapi penuh dengan lauk ayam, sayur, sambal dll)

Ketika kami ke sini, lauknya bukan ayam sahaja tetapi ada ikan masin dan lala yang turut menjadi lauk makan tengahari di sini di samping sayur dan air.

“Lauk lain itu adalah sumbangan orang ramai. Mereka nampaknya turut mahu mendapat pahala dari usaha ini,” kata Jefry.

Bagi Mazlina, kualiti masakan di sini menjadi keutamaan beliau walaupun ia percuma sahaja.

“Saya pesan kat pekerja kami, jaga kualiti makanan. Masak macam kamu sendiri nak makan,” kata beliau.

Di kedai makan ini, Ayam Bismi yang dimiliki Jefry dan Mazlina, menggaji tiga orang pekerja tetap untuk menguruskannya. Di samping itu, mereka menggaji tiga orang pekerja sementara untuk membantu.

“Beras pada peringkat awal hari tu, kami yang sediakan tetapi sekarang tidak sempat kami nak beli beras, sudah ada orang yang hantar,” kata Jefry.

(Mazlina dan Jefry melayan tetamu Rumah Makan Percuma milik mereka dan Ayam Bismi)

Bagaimanapun Jefry menegaskan, beliau tidak akan menerima sebarang sumbangan dalam bentuk kewangan untuk rumah makan ini.

“Saya tak mahu nanti orang tanya mana duit tu kami belanjakan. Sebab saya sendiripun tidak pernah mengira berapa yang saya telah belanjakan untuk rumah makan ini sejak ditubuhkan.

“Jadi, kami hanya terima sumbangan bahan makanan saja.

“Tetapi ayam dan gaji pekerja, itu dari kami sepenuhnya. Kami tidak mahu berkongsi hal itu,” kata Jefry.

Jefry percaya, doa kira-kira 500 orang setiap hari yang makan di rumah makan beliau ini adalah antara penyumbang besar kepada kejayaan dan keberkatan perniagaan beliau.

BACA JUGA PN-Pas doakan kehancuran, apa yang dibimbangi berlaku nanti?