Salah terjemah berkait pertabalan Agong, META akhirnya mohon maaf

META akhirnya mengemukakan permohonan maaf atas kesilapan terjemahan automatik menerusi satu entri di Facebook berkaitan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim di Istana Negara kelmarin.

Menerusi satu kenyataan, Pengarah Dasar Awam META Asia Tenggara, Rafael Frankel, berkata pihaknya menerima maklum mengenai kesilapan terjemahan daripada bahasa Melayu ke bahasa Inggeris.

Dalam masa sama, beliau mengakui terjemahan itu menjejaskan catatan di Facebook RTM berkaitan istiadat pertabalan Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan hari keputeraan Isteri Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Che’ Puan Khaleeda Bustamam.

“Kami sudah menyelesaikan kesilapan teknikal ini. Kami amat menghormati Kerabat Diraja Malaysia dan dengan tulus ikhlas memohon maaf kepada RTM, Majlis Diraja Johor dan lain-lain yang terkesan dengan acara ini,” menurut kenyataan itu.

Semalam, RTM tampil menjelaskan pihaknya tidak memuat naik sebarang maklumat rasmi dalam bahasa Inggeris berhubung Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara, pada 20 Julai lalu.

Sebaliknya, RTM memaklumkan apa yang dipaparkan di laman Facebook rasminya adalah terjemahan automatik oleh sistem Facebook.

“Jika pengguna mengaktifkan terjemahan automatik, maka terjemahan bahasa Inggeris akan muncul. Terjemahan bahasa Inggeris oleh sistem Facebook tersebut adalah salah.

“RTM tidak memuat naik sebarang kandungan ucapan takziah sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17,” menurut kenyataan RTM lagi.

BACA JUGA ‘Zalim ke kenakan hukuman kepada Wan Ahmad Fahysal?’