Genap setahun pemergian Salahuddin Ayub, Bapa Rahmah Negara

Hari ini pada 23 Julai, genap setahun pemergian Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang merupakan penggerak program ‘Rahmah’ sehingga diberi jolokan “Bapa Rahmah Negara”.

Meninggal pada usia 61 tahun, beliau sentiasa dikenang sebagai pencetus idea dan inisiatif murni membantu rakyat menangani isu kenaikan kos sara hidup menerusi pakej ‘Payung Rahmah’. 

Pada malam pemergiannya, tanda pagar #Salahuddinayub  sohor di media sosial Facebook dan X dengan lebih 80,000 hantaran dimuat naik oleh rakyat Malaysia yang mendoakan kebaikan untuk Allahyarham.

Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu hari ini mengenang semula pemergian Allahyarham, menyifatkan jasa dan bakti yang telah Allahyarham curahkan cukup bermakna buat rakyat Malaysia.

Beliau menitipkan doa agar rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. 

“Hari ini genap setahun pemergian mantan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Haji Salahuddin Ayub. 

“Allahyarham dahulu terkenal dengan jolokan “Bapa Rahmah” yang banyak membantu rakyat Malaysia dengan program-program sentuhan hingga ke akar umbi,” katanya.

Allahyarham memperkenal pelbagai inisiatif termasuklah Menu Rahmah, Jualan Rahmah, Bakul Rahmah, Kafe Rahmah, Pakej Rahmah dan Kereta Rahmah di bawah pakej Payung Rahmah – yang sedikit sebanyak membantu rakyat mendepani cabaran kos sara hidup yang tinggi.

Impak inisiatif Rahmah ini bukan sahaja dinikmati komuniti pengguna, tetapi juga peniaga kecil, malah turut mendapat sokongan pemain industri makro seperti pengendali pasar raya Hypermarket Mydin, Giants, Aeon dan Lotus’s.

Susur galur dan pengalaman Allahyarham dalam bidang politik, yang bermula dari akar umbi sehingga kepimpinan utama dalam parti, memberi paparan bahawa beliau seorang pemimpin yang mengetahui apa yang berlaku di peringkat bawah.

Allahyarham Salahuddin disahkan meninggal dunia pada pukul 9.23 malam 23 Julai di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah.

BACA JUGA Hilang di JB, ditemui di hotel murah di Batang Kali

Â